PUTRAJAYA, 27 November- Hampir RM1 juta diperlukan bagi membantu pesakit kanser yang kurang berkemampuan bagi tahun 2024.
Institut Kanser Negara (IKN) bertindak proaktif menganjurkan majlis makan malam untuk mengutip dana bagi membantu pesakit kanser yang memerlukan.
Menurut isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, inisiatif tersebut merupakan satu anjakan paradigma dalam sebuah fasiliti kesihatan kerajaan yang tidak hanya memfokuskan kaedah perawatan, malah memberi nilai tambah terhadap kesejahteraan pesakit secara holistik.
Sekali gus memastikan tahap perkhidmatan yang ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahap yang terbaik.
"Kita tidak mahu negara kita bangun, sambil kita bangun, kita bangun juga manusia dan kemanusiaan itu kita tidak hilang kepada semua kita, rakyat Malaysia. Jadi kita tahu kos rawatan kanser tinggi, ubat kanser ini tinggi, malah mengambil masa panjang, bukan sekejap seperti selsema dan masalah kanser kerana rawatan yang panjang", katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Amal IKN di Putrajaya.
Setiap kutipan dana tersebut akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.
Buku “Dasawarsa Nostalgia IKN” yang mengabadikan kenangan dan pencapaian sepanjang 10 tahun IKN turut dilancarkan sempena ulang tahun ke-10 Institut Kanser Negara.
Turut hadir, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Pengarah Institut Kanser Negara, Dr Mohd Anis Haron.