
KUALA LUMPUR, 14 Januari – Sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
- Pengiktirafan UEC mesti berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
- Isu UEC berkait sistem pendidikan yang harus mendasari falsafah pendidikan kebangsaan.
- Penggunaan bahasa Melayu dan mata pelajaran sejarah wajib jika mahu kerajaan mengiktiraf UEC.
- Perbincangan UEC juga menyentuh masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan penyatu negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, isu UEC bukan soal perkauman atau pandangan sempit, sebaliknya berkait dengan sistem pendidikan yang tidak mendasari falsafah pendidikan kebangsaan.
“Justeru, sebarang pengiktirafan mesti berpaksikan Perlembagaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita hanya menuntut melalui falsafah ini bahawa penggunaan bahasa Melayu dan sejarah wajib ada sekiranya mereka mahu kerajaan mengiktiraf UEC,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menekankan bahawa isu UEC melibatkan masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta bahasa penyatu negara, bukan semata-mata soal pendidikan.