
SEREMBAN, 14 Januari – Lebih 8,000 pengunjung membanjiri Padang Awam Seri Menanti bagi memeriahkan Konsert Ekspresi Dirgahayu 3.0 anjuran Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan bersempena sambutan Hari Keputeraan Ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, malam tadi.
Konsert tersebut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani.
Turut berangkat, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Seperti kelazimannya, sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang diraikan pada 14 Januari setiap tahun menjadi platform untuk mendekati rakyat menerusi penganjuran program berunsur hiburan dan kemasyarakatan.
Bagi edisi kali ini, konsert menampilkan gabungan artis lama dan baharu yang semakin mendapat tempat di hati peminat, sekali gus menghidupkan suasana sambutan di Padang Awam Seri Menanti.
Pengarah Penyiaran Negeri Sembilan, Suhana Suratman berkata, penganjuran Konsert Ekspresi Dirgahayu merupakan usaha Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan untuk bersama masyarakat setempat meraikan keistimewaan Negeri Sembilan.
“Konsert ini menghimpunkan gabungan artis lama dan baharu termasuk Tam Spider, Black Hanifa, Hazama, Nadira serta barisan penyanyi muda bagi memeriahkan sambutan,” katanya.

Suasana konsert bertambah istimewa apabila Tunku Zain Al-‘Abidin berkenan mempersembahkan alunan piano bersama artis di pentas utama, sekali gus mencuri perhatian pengunjung.
Seorang pengunjung, Alwi Alias berkata, persembahan tersebut memberi pengalaman istimewa kepada orang ramai yang hadir.
“Saya datang untuk memeriahkan konsert dan dapat menyaksikan sendiri persembahan piano Tunku Zain. Sebelum ini hanya melihat rakaman, kali ini dapat menonton secara langsung dan memang membanggakan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Farees Asri menyifatkan konsert itu berlangsung meriah dengan kehadiran ramai artis serta sambutan luar jangkaan daripada orang ramai.
Sementara itu, Hasrulazlinda Hassan berharap penganjuran konsert seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai artis.