GEORGE TOWN, 16 Disember- Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan bahawa pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang baharu adalah satu amanah yang amat besar.
Ini termasuk tanggungjawab memperkukuh peranan Pulau Pinang sebagai hab industri berteknologi tinggi dan semikonduktor negara.
Justeru, beliau komited untuk melonjakkan lagi pembangunan sektor berkenaan dengan lebih berkesan.
"Timbalan Menteri MITI adalah sangat penting bagi Pulau Pinang kerana negeri ini merupakan hab semikonduktor dan industri berteknologi tinggi.
Sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, kawasan saya menempatkan sebahagian besar industri berteknologi tinggi ini. Saya akan membantu mengangkat industri semikonduktor dan sektor berteknologi tinggi ke tahap yang lebih hebat," kata Tze Zin ketika dihubungi Berita RTM.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media khas mengumumkan rombakan anggota kabinet Kerajaan MADANI di saluran Berita RTM, petang tadi.
Tegas Datuk Seri Anwar, rombakan itu dilaksana sebagai usaha memperkukuh barisan kepimpinan negara, dengan melibatkan 10 muka baharu dalam kabinetnya.
Selain Tze Tzin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong turut bertukar portfolio sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beliau sebelum ini merupakan Menteri Sumber Manusia.
Antara muka baharu ialah Dr. Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi dan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ini merupakan rombakan kedua kabinet Kerajaan MADANI selepas mendapat kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, pada 2022.
Rombakan kabinet sulung Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar dilaksanakan pada 12 Disember 2023.
Sebelum ini, Kabinet Kerajaan MADANI menyaksikan empat kekosongan portfolio menteri iaitu jawatan Menteri Ekonomi yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick yang kosong susulan peletakan jawatan mereka.