HULU LANGAT, 16 Disember- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengaktifkan Skuad Ihsan MADANI bagi membantu penduduk terjejas banjir yang terkesan di beberapa kawasan di daerah Hulu Langat, Selangor.
Sebanyak 100 bakul makanan telah diagihkan oleh Bahagian Dakwah JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dusun Nanding serta ADUN Dusun Tua , Datuk Wira Johan Abd Aziz.
"Kami akan sentiasa meneruskan usaha-usaha untuk membantu mangsa bencana, khususnya mangsa banjir. Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasakan. Memandangkan keadaan iklim dan cuaca ketika ini yang sangat tidak menentu, kami telah menyelaraskan persediaan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan ke seluruh negara," kata Ketua Penolong Pengarah Kanan Dakwah (JAKIM), Faizal Ibrahim.
"Kerjasama antara penduduk, rakan-rakan NGO serta semua pihak yang datang membantu, Alhamdulillah, memang sangat baik. Paling penting, penduduk-penduduk terjejas banjir sendiri memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kami selaku AJK kampung. Apabila diarahkan untuk berpindah atau membuat persediaan demi keselamatan, mereka akur dan mematuhi arahan yang diberikan," kata Ketua Kampung Dusun Nanding, Mohd Rozelan Alias.
Selain meringankan beban mangsa, pendekatan turun padang itu bertujuan memastikan kebajikan penduduk terjejas terus terpelihara, khususnya golongan asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, di samping memberi sokongan moral untuk mereka meneruskan kehidupan pascabencana.
Skuad Ihsan MADANI dijangka meneruskan operasi mengikut keperluan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan secara menyeluruh dan berkesan.