fb fb fb fb fb

MCMC tawar biasiswa MCMC CARE, MCMC LEGASI sebagai usaha lahirkan bakat berkemahiran tinggi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada gimik perasmian Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Ketua Setiausahanya, Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri) dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus memperkukuh komitmen jangka panjangnya dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi apabila menawarkan biasiswa MCMC CARE dan MCMC LEGASI 2025 kepada 25 pelajar cemerlang dalam bidang komunikasi dan multimedia.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif biasiswa berkenaan mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam membangunkan modal insan strategik negara bagi memperkukuh daya saing Malaysia, khususnya dalam mendepani cabaran masa depan sektor komunikasi dan infrastruktur digital.

Menurut beliau, pendidikan merupakan jambatan utama kepada masa depan yang lebih cerah dan inklusif, oleh itu peluang yang diberikan wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penerima untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Bukan semua orang mendapat peluang ini. Proses pemilihannya sangat ketat dan para penerima adalah yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Saya berharap mereka akan pulang dan berkhidmat kepada negara selepas tamat pengajian," ketika beliau ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa MCMC 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Biasiswa MCMC LEGASI ditawarkan kepada lima pelajar berprestasi tinggi untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan komunikasi dan multimedia di universiti terkemuka sama ada di dalam atau luar negara.

Selain pembiayaan penuh, penerima turut diberikan peluang latihan industri serta jaminan kerjaya di MCMC.

Manakala Biasiswa MCMC CARE memberi manfaat kepada 20 pelajar berpotensi tinggi daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan dengan pembiayaan penuh, sekali gus memastikan kekangan kewangan tidak menghalang akses kepada pendidikan berkualiti.

Datuk Fahmi menegaskan masa depan negara amat bergantung kepada pembangunan infrastruktur digital serta penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), komunikasi kuantum dan teknologi satelit, yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi perubahan pesat industri.

Secara keseluruhan, sebanyak 907 permohonan diterima bagi kedua-dua program biasiswa berkenaan, melibatkan 588 permohonan bagi MCMC LEGASI dan 319 permohonan bagi MCMC CARE.

Proses pemilihan dijalankan secara teliti merangkumi penilaian akademik, keperluan kewangan, ujian psikometrik serta temu duga akhir oleh jawatankuasa bebas.

Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa MCMC CARE dan MCMC LEGASI 2025 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN