SEBERANG JAYA, 16 Disember- Pulau Pinang komited memartabatkan profesion pendidik Tabika Perpaduan dengan menawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat diploma.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, selain inisiatif pendidikan, program perpaduan dan integrasi nasional di peringkat daerah juga akan diperluas pada tahun 2026.
Usaha tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi memperkukuh profesionalisme guru dan semangat perpaduan di pulau mutiara itu.
"Dalam konteks majlis agama Islam, kita menawarkan program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kita akan berbincang dengan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional bagi meningkatkan profesionalisme perguruan, khususnya bagi guru Tabika Perpaduan, dengan memberi peluang mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak," kata Datuk Mohamad kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Program Memartabatkan Profesion Perguruan Peringkat Negeri, di sini.
Seramai 232 orang guru Tabika Perpaduan dari 116 buah pusat di seluruh Pulau Pinang menghadiri program tersebut.
Program sehari itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) bagi menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan staf.