
KUALA LUMPUR 9 Februari – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang membentangkan pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di Dewan Rakyat pada Julai atau Ogos depan.
- Cadangan pindaan SOSMA dibentangkan untuk memperkenalkan pengkelasan kesalahan mengikut tahap keseriusan.
- KDN mencadangkan tiada ikat jamin bagi kesalahan berhukuman berat, sementara kes ringan dibenarkan oleh majistret.
- Perancangan menubuhkan mahkamah khas SOSMA untuk mempercepatkan prosiding dan mengurangkan tempoh menunggu lama.
Pindaan berkenaan bagi menangani tempoh prosiding yang panjang dan memperkenalkan pengkelasan kesalahan mengikut tahap keseriusan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kertas Kabinet bagi membolehkan kementeriannya memulakan kajian, libat urus, dan gerak kerja pindaan akta itu telah dibentangkan Jumaat lalu.
Di bawah peruntukan sedia ada, kira-kira 73 kesalahan diuruskan secara sama rata, terutamanya Seksyen 13 berkaitan ikat jamin dan Seksyen 30 mengenai tempoh menunggu prosiding yang lama.
“Bagi kesalahan yang membawa hukuman berat, contohnya 20 hingga 30 tahun penjara, cadangan kami adalah tiada ikat jamin.
“Bagi kesalahan lebih ringan, majistret atau Timbalan Pendakwa Raya boleh menentukan ikat jamin,” jelas Saifuddin pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, KDN bercadang menubuhkan mahkamah khas bagi kes SOSMA untuk mempercepatkan prosiding, bukan kerana kesalahan itu terlalu serius, tetapi kerana tempoh menunggu yang lama.
Beliau menambah, kritikan utama terhadap SOSMA sebelum ini adalah tempoh prosiding yang panjang sehingga ia dianggap sebagai satu hukuman tambahan kepada individu yang tidak dibenarkan ikat jamin.
Langkah pindaan berkenaan dijangka akan membolehkan proses perbicaraan lebih efisien, selaras dengan usaha KDN untuk memastikan keadilan diterima dengan lebih cepat tanpa menjejaskan keselamatan dan kepentingan awam.