KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diadakan sempena Program MADANI Rakyat di Pasar Kedai Payang, menerima sambutan hangat daripada pengunjung pelbagai peringkat usia.
Inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memperkenalkan peluang pendidikan TVET kepada orang ramai, malah turut memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah dan belia.
Lebih 300 pengunjung direkodkan dalam tempoh dua hari penganjuran, menandakan sambutan memberangsangkan terhadap program berteraskan kemahiran itu.
"Kat sini banyak aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak hingga pelajar sekolah menengah. Mereka dapat teroka pengalaman baharu yang mungkin sukar diperoleh di tempat lain," ujar Siti Izati Mohd Nasir, salah seorang pengunjung.
Antara aktiviti interaktif yang disediakan termasuk simulasi realiti maya, permainan pengaturcaraan serta eksperimen berasaskan logik dan kreativiti.
"Aktiviti ini mencabar minda sebab kita kena guna pemikiran luas. Tambah ilmu juga, terutama tentang Matematik," jelas Irdina Wafisqina Mohd Kima yang mencuba aktiviti pembayang gambar berasaskan algoritma.
Manakala Aira Rabiah Mansor pula berkata program berkenaan memberi pendedahan awal yang menyeronokkan kepada anak-anak terhadap bidang STEM.
"Saya sendiri tertarik bila anak saya boleh buat aktiviti dengan elemen AI dan digital. Memang menarik dan berfaedah."
Tenaga pengajar dari institusi pengajian turut mengambil peluang mendekati pelawat, termasuk pelajar lepasan SPM.
"Kami galakkan anak-anak muda datang ke Politeknik Dungun dan lihat sendiri program serta keunikan yang kami tawarkan," kata Dr Mohd Ridzuan Ismail, tenaga pengajar Politeknik Dungun.
"Sasaran kami murid sekolah rendah dari darjah lima ke atas dan pelajar menengah yang minat robotik," tambah Mohd Syahmi Ikhwan Mohd Zaidi, pelajar politeknik.
Sebanyak 12 kementerian dan agensi berkaitan TVET menyertai pameran kali ini termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Turut mencuri perhatian ialah pertandingan Drone Junior Skills MADANI Rakyat 2025, yang menyaksikan penyertaan pelajar sekolah rendah, menengah serta orang awam dalam tiga kategori utama.
Program seperti itu dilihat penting dalam membuka cakrawala kemahiran anak muda serta mendekatkan mereka dengan pelbagai pilihan kerjaya berasaskan TVET dan STEM.