KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Program MADANI Rakyat 2025 di Pasar Kedai Payang bukan sahaja menjadi medan libat urus kerajaan dan rakyat, tetapi turut membuka ruang kerjaya melalui Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran PERKESO.
Menawarkan lebih 1,000 jawatan kosong daripada 14 syarikat pelbagai sektor, ia menjadi platform penting kepada pencari kerja khususnya di negeri Terengganu.
"80 peratus daripada jawatan yang ditawarkan bermula dengan gaji RM2,500 ke atas. Baki 20 peratus pula menawarkan gaji antara RM1,700 hingga RM2,400," ujar Mohd Yunus Muda, Ketua Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Terengganu.
Majikan yang menyertai karnival berkenaan merangkumi sektor perkilangan, elektronik, peruncitan dan logistik, memberi peluang terus kepada pencari kerja menjalani sesi temu duga secara terbuka.
"Daripada program ini, saya boleh terus jumpa wakil syarikat dan hadiri temuduga terus. Kalau mohon dari portal kadang-kadang lambat, ada yang tak sempat tapis permohonan pun," kata Nor Alia Khairunisa Abd Razak, salah seorang pengunjung.
Bagi pencari kerja berusia pula, karnival sebegini dianggap sebagai peluang kedua yang amat bernilai.
"Saya dah lama menganggur dan usia pun bukan muda lagi. Tapi kat sini, peluang tu masih ada. Kita kena bijak jual diri, walaupun pengalaman dalam bidang lain, saya tetap cuba yakinkan majikan," kata Mohd Khairani Mohd Khairudin.
Program tiga hari itu dijangka memberi impak besar kepada pengurangan kadar pengangguran di negeri ini, sekaligus menghubungkan terus pencari kerja dengan peluang sebenar yang ditawarkan oleh industri.