GENEVA, 11 Julai - Penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) bukan sahaja menonjolkan pencapaian negara dalam sektor telekomunikasi, malah membuka ruang untuk berkongsi pandangan dan pengalaman dalam pembangunan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penglibatan Malaysia dalam sidang kemuncak itu memberi peluang kepada negara menyuarakan pandangan mengenai perkembangan terkini dalam bidang telekomunikasi dan AI, selain membincangkan isu-isu global yang berkaitan.
“Kita turut berpeluang mendengar cabaran dan saranan daripada negara lain serta memahami usaha Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam membentuk dasar global yang bersesuaian dengan keperluan setiap negara anggota,” katanya kepada media.
Antara isu utama yang dibincangkan bersama delegasi luar termasuk keupayaan membangunkan infrastruktur bagi menyokong teknologi AI, etika dan panduan moral penggunaannya, serta jurang digital antara negara maju dan negara membangun.
Datuk Fahmi menegaskan bahawa pembangunan AI sangat bergantung kepada infrastruktur telekomunikasi, khususnya jalur lebar dan kelajuan Internet yang stabil dan pantas.
“Asas kepada AI ialah infrastruktur telekomunikasi yang mantap. Keupayaan untuk membuat kiraan besar hanya dapat dicapai dengan sambungan Internet yang sangat laju,” jelasnya.
Beliau turut menambah bahawa pengalaman Malaysia dalam melaksanakan rangkaian 5G boleh menjadi rujukan berguna kepada negara anggota ITU yang masih belum membangunkan teknologi tersebut.