fb fb fb fb fb

Rubio sifatkan forum ASEAN sebagai luar biasa

Rubio menyifatkan ASEAN sebagai platform utama bagi Amerika jalin hubungan diplomatik dengan Asia Tenggara - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio menyifatkan kunjungan pertama kalinya ke Asia selepas dilantik ke jawatan tersebut, sebagai satu lawatan yang positif.

Beliau berkata, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) telah berhasil memainkan peranannya sebagai medan perbincangan yang produktif.

Menurutnya, Amerika berjaya mengadakan pertemuan dengan hampir kesemua negara anggota dan rakan dialog ASEAN menerusi penyertaannya dalam persidangan tersebut.

1107 NSL AMM MARCO POSITIF 2Marco Rubio menyertai Persidangan Pasca Menteri-Menteri ASEAN bersama Amerika Syarikat - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

''Ini adalah forum yang luar biasa dan ASEAN merupakan saluran utama bagi Amerika untuk menjalinkan hubungan diplomatik di Asia Tenggara.

''Amerika merupakan sebuah negara yang mempunyai hubungan yang kukuh di rantau ini.

''Kami juga menyaksikan peningkatan hubungan dengan beberapa negara, yang akan dimuktamadkan dalam beberapa minggu akan datang.

''Ini termasuk beberapa perjanjian pertahanan merangkumi pembelian aset pertahanan yang dimeterai semasa lawatan ini,'' katanya kepada pemberita di luar sidang AMM ke-58.

1107 NSL AMM MARCO POSITIF 3Persidangan Pasca Menteri-Menteri ASEAN bersama Amerika Syarikat - Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan 

Selain isu tarif timbal balas, sesi perbincangan yang diadakan turut mengenal pasti bidang kerjasama baharu terutamanya dalam bidang keselamatan siber.

''Salah satu perkara yang sangat kami beri perhatian ialah isu penipuan dan jenayah siber yang bukan sahaja menyasarkan rakyat Amerika, malah penduduk di negara-negara ASEAN.

''Penjenayah siber ini membawa kesan buruk bukan hanya kepada negara kami, tetapi kepada semua negara yang hadir di sini dan kami berharap akan ada hasil yang nyata dalam hal ini,'' katanya.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK