fb fb fb fb fb

Lawatan prakemasukan ASEAN, Timor-Leste eratkan hubungan dua hala

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 1 Oktober – Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste baru-baru ini bukan sahaja merupakan lawatan prakemasukan menjelang penyertaan negara itu ke ASEAN, tetapi juga memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Timor-Leste.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai lawatan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sambil menyifatkannya sebagai bersejarah.

Ini memandangkan kali terakhir seorang Perdana Menteri Malaysia menjejakkan kaki ke negara berkenaan ialah pada tahun 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Insya-Allah pada 26 Oktober ini, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan bersama negara anggota lain mengalu-alukan kemasukan Timor-Leste sebagai ahli ASEAN yang ke-11.

“Jadi ini bukan sahaja lawatan oleh Pengerusi ASEAN sebelum kemasukan Timor-Leste, tetapi juga satu lawatan yang memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober dengan kehadiran pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping serta ketua-ketua kerajaan ASEAN dan rakan dialog.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ