fb fb fb fb fb

Bantuan segera untuk mangsa kebakaran rumah panjang Austin Ikew

Sebuah rumah panjang 29 pintu, Rumah Austin Ikew di Song 29 musnah dalam kebakaran/Foto BERITA RTM

PUTRAJAYA, 1 Oktober- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya bantuan segera disalurkan kepada mangsa kebakaran rumah panjang di Austin Ikew, Song, Sarawak.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata arahan itu disampaikan semasa mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kebakaran berkenaan membabitkan rumah panjang 29 pintu dengan 76 mangsa daripada 20 keluarga. Semua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Perdana Menteri telah mengarahkan agar bantuan dipercepatkan kepada semua yang terkesan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan Perdana Menteri juga merakamkan ucapan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) yang memenangi Anugerah Sekolah Terbaik Dunia dalam kategori ‘Supporting Healthy Lives’ melalui projek kesihatan mental inovatif, HELPIE.

Ia merupakan sebuah aplikasi mudah alih yang dibangunkan pada 2023 untuk meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap kesejahteraan mental pelajar.

“Pencapaian ini telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, dan Jemaah Menteri berasa bangga serta menyokong sepenuhnya kejayaan ini,” katanya.

Tambah Datuk Fahmi, Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pengangkutan kerana berjaya mengekalkan kerusi Malaysia dalam Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk penggal ketujuh berturut-turut sejak 2007.

SITI NOORAIN ABDULLAH