SEPANG, 1 Oktober - Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan semua kapal pemerhati termasuk Shireen (Tunisia) dan Summertime-Jong (Itali) tidak akan memasuki Zon Merah mengikut perancangan asal.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ia berikutan penstrukturan peranan telah dilakukan pada 28 September lalu, selepas empat kapal flotilla lain mengalami kerosakan.
“Dua delegasi Malaysia, Hidayah Abdullah dan Nik Aziz bin Nik Muhammad, dihantar ke Amman, Jordan untuk membantu kumpulan perundangan, manakala enam lagi diterbangkan pulang dari Greece untuk menyambung tugas di SNCC.
"Jumlah terkini delegasi Malaysia yang kekal belayar ke Zon Merah ialah seramai 23 orang bersama seorang wakil Brunei,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan dua kapal flotilla, Alma dan Sirius, berdepan cubaan intimidasi dipercayai daripada kapal tentera rejim yang turut mengganggu sistem komunikasi serta siaran litar tertutup (CCTV) di atas kapal.
“SNCC juga mengesahkan terdapat sekitar 10 dron berlegar dalam formasi mencurigakan mengelilingi flotilla. Namun tiada pintasan fizikal berlaku dan semua delegasi berada dalam keadaan selamat," katanya
Menurut beliau, flotilla dijangka memasuki Zon Merah 3, iaitu 100 batu nautika dari Gaza, mulai pukul 9 malam waktu Malaysia ini.
Siaran langsung CCTV dari atas kapal telah mula dipancarkan di laman rasmi sumud nusantara sebagai rakaman bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia terus bersatu menyokong dan mendoakan keselamatan misi yang disertai 45 negara itu, sekali gus mendesak kepimpinan dunia mengambil tindakan kolektif terhadap krisis kemanusiaan di Gaza.