KUALA LUMPUR, 1 Oktober- Kementerian Luar Negeri memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat situasi susulan gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda Kepulauan Cebu, Filipina, malam tadi.
Gempa yang berlaku pada jam 9.59 malam waktu tempatan, 30 September itu, dilaporkan telah mengakibatkan kehilangan nyawa serta memaksa ratusan keluarga berpindah.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terkesan akibat bencana itu. Dalam masa sama, rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dinasihatkan agar berwaspada, mematuhi panduan pihak berkuasa tempatan, serta mengemas kini maklumat mereka menerusi pautan https://ekonsular.kln.gov.my.
Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan lanjut. Kementerian turut menyelaras bersama agensi-agensi berkaitan berhubung bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada pihak Filipina.
Malaysia turut mengucapkan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Filipina, khususnya mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana tersebut.