BANGI, 11 Julai – Nilai eksport durian Malaysia melonjak lebih 256% dalam tempoh lima tahun, mencatatkan peningkatan luar biasa daripada RM322 juta pada 2018 kepada RM1.14 bilion pada 2022, bukti kukuh potensi besar ‘raja buah’ itu sebagai aset ekonomi negara di peringkat global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu didorong peningkatan permintaan antarabangsa termasuk dari China, selaku pengimport utama durian Malaysia di rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival & Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2025 serta Kejohanan Durian Dunia 2025: Edisi Dunia, di Bangi hari ini.
“China kekal sebagai destinasi eksport utama durian Malaysia. Pemeteraian Protokol Fitosanitari pada Jun lalu telah membuka pasaran baharu bagi eksport durian segar kita ke negara itu, sekali gus melonjakkan potensi pasaran durian tempatan,” katanya.
Tambah beliau, trend itu membuktikan bahawa durian bukan sekadar kegemaran rakyat tempatan, malah kini muncul sebagai penyumbang signifikan kepada ekonomi nasional.
Festival tahunan yang kini masuk tahun keenam itu menjadi platform penting kepada pekebun, usahawan dan pengusaha durian dari seluruh negara untuk berkongsi ilmu, memperluas jaringan serta menyertai pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam Kejohanan Durian Dunia edisi kali ini iaitu Musang King D197, Duri Hitam D200, Klon Berdaftar dan Durian Kampung Terbuka, memperlihatkan kematangan industri durian tempatan dari segi varieti, kualiti dan inovasi.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu turut mengucapkan tahniah kepada Bangi Resort Hotel yang telah diiktiraf sebagai “First Durian Friendly Hotel and Resort” oleh ASEAN Book of Records, sejak tahun 2018.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh para pemain industri, pelancong tempatan dan antarabangsa serta komuniti usahawan tani, selaras dengan usaha kerajaan dalam memartabatkan buah-buahan tempatan sebagai aset strategik ekonomi agro.