fb fb fb fb fb

ARF perlu lebih peka untuk kekal relevan

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, komited untuk meremajakan ARF - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kepentingan memperkukuh peranan Forum Serantau ASEAN (ARF) dalam menangani cabaran keselamatan serantau yang semakin kompleks dan pelbagai dimensi terus ditekankan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dalam ucapan pembukaan Mesyuarat ARF ke-32 hari ini, beliau menekankan, forum itu perlu terus berevolusi agar kekal relevan dan berkesan, khususnya dalam mendepani persaingan kuasa besar, gangguan teknologi, dan ancaman rentas sempadan.

1107 NSL AMM TOKMAT PERANAN ARF 1Datuk Seri Mohamad berucap pada Mesyuarat ARF ke-32

"ARF perlu menunjukkan keupayaan untuk bertindak balas dengan lebih tangkas terhadap realiti baharu. Keutamaan ini penting bagi memastikan ARF kekal sebagai seni bina keselamatan serantau yang inklusif dan berwibawa," katanya.

Malaysia, sebagai Pengerusi, komited untuk meremajakan ARF, di bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), dengan tumpuan kepada kerjasama dalam keselamatan maritim, anti-keganasan, dan kesiapsiagaan bencana.

Beliau turut menyeru agar ARF memainkan peranan yang lebih besar dalam amaran awal dan tindak balas pantas, terutamanya dalam krisis kemanusiaan, kecemasan kesihatan, dan pencegahan konflik.

"Forum ini mesti beralih daripada dialog kepada tindakan. Jurang antara aspirasi dan pelaksanaan perlu ditutup," tegasnya.

Datuk Seri Mohamad turut mengingatkan bahawa kekuatan ARF terletak pada sifatnya yang inklusif, melibatkan 27 peserta dengan pelbagai perspektif, dan menegaskan komitmen kepada prinsip dialog, konsensus dan saling menghormati.

Mesyuarat kali ini dijadikan platform untuk menilai kemajuan ARF, menangani cabaran mendatang, serta bertukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa yang mendesak.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK