fb fb fb fb fb

12,000 pokok bunga pelbagai spesies diterbangkan ke Labuan sempena BFF 2025

FOTO RTM

LABUAN, 11 Julai – Sebanyak 12,000 pokok bunga melibatkan 24 spesies diterbangkan ke Labuan bersempena penganjuran Borneo Flora Festival (BFF) 2025, sekali gus menyemarakkan lagi sambutan festival berkenaan.

Penghantaran itu bertujuan memperkayakan pameran flora sepanjang festival berlangsung, di samping menarik kehadiran pengunjung dengan keunikan dan kepelbagaian bunga yang dipamerkan.

Kesemua pokok bunga terbabit dibawa menerusi empat sortie penerbangan khas menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Labuan.

Penghantaran dibuat secara berfasa, dengan kumpulan pertama pokok bunga telah tiba minggu lalu, manakala kumpulan kedua mendarat sekitar pukul 10 pagi tadi.

Selain pokok bunga, pesawat TUDM turut membawa pelbagai peralatan dan barangan sokongan lain yang diperlukan bagi persiapan festival.

BFF 2025 merupakan anjuran bersama Jabatan Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Festival dijadual berlangsung selama lima hari di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, dan dijangka menarik pengunjung dari seluruh rantau.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE