KUALA LUMPUR, 11 Julai - Mekanisme kerjasama sedia ada menerusi Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD), memerlukan tindakan kolektif segera dan menyeluruh. Ia memandangkan krisis kemanusiaan di Palestin ketika ini berada pada tahap amat kritikal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan “business as usual” dalam menangani isu Palestin tidak lagi relevan dalam suasana mendesak hari ini. Ia sebaliknya memerlukan penyusunan semula strategi dan penyelarasan bantuan secara lebih berkesan.
“CEAPAD tidak boleh terus beroperasi seperti biasa kerana keadaan di lapangan sangat meruncing. Jika kita gagal memperkukuh CEAPAD, ia akan menjadi tidak berkesan. Kita perlukan sokongan semua pihak agar CEAPAD kekal komited dan konsisten terhadap perjuangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sidang CEAPAD IV yang berlangsung di Kuala Lumpur. Sidang tersebut disertai Menteri Luar Jepun, Takashi Iwaya, dan Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr. Estefan Salameh, bersama wakil pelbagai organisasi serantau dan antarabangsa.
Sebagai langkah ke hadapan, Malaysia memperkenalkan Pelan Tindakan Kuala Lumpur 2025 yang memberi tumpuan kepada tiga komponen utama: bantuan kemanusiaan, pembinaan semula infrastruktur, dan pembangunan institusi negara Palestin.
Datuk Seri Mohamad Hasan turut memaklumkan bahawa Malaysia bersedia melaksanakan inisiatif ini serta-merta, tertakluk kepada keadaan yang mengizinkan.
Sejak penghujung 2023, Malaysia telah menyumbang sebanyak USD16 juta menerusi Tabung Amanah untuk Palestin dan Inisiatif Ops Aissan, termasuk menerusi kerjasama pelbagai pihak serta latihan teknikal di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Beliau turut menggesa negara anggota CEAPAD, ASEAN serta komuniti antarabangsa agar terus menunjukkan solidariti yang jelas terhadap Palestin, termasuk mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan menyokong keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tanpa syarat atau penangguhan.