fb fb fb fb fb

Perpustakaan "terapung" Doulos Hope kembali ke Labuan warnai BFF 2025

Perpustakaan "terapung" Doulos Hope

LABUAN, 11 Julai – Selepas lebih dua dekad, kapal ‘perpustakaan terapung’ Doulos Hope kembali berlabuh di Labuan, sekali gus memeriahkan penganjuran Festival Flora Borneo (BFF) yang akan berlangsung dari 26 hingga 30 Julai ini.

Kehadiran kapal berkenaan bukan sahaja membawa lebih ribuan judul bahan bacaan, malah turut menawarkan persembahan kebudayaan, pameran interaktif serta pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib menyifatkan kehadiran Doulos Hope memberi nilai tambah kepada festival dengan menyumbang kepada pendidikan, interaksi silang budaya dan kesedaran kesukarelawanan.

"Ini adalah selari dengan apa yang kita hasratkan, kunjungan daripada negara luar. Pada masa sama, ada tarikan-tarikan yang dibawa ke Labuan untuk penduduk boleh berkunjung, maknanya boleh menikmati pameran buku bergerak di atas cruise. Pengunjung yang datang ke Labuan juga boleh pergi ke Borneo Flora Festival nanti," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Doulos Hope, Khemraj Lakhan melahirkan rasa teruja dan terharu atas sambutan hangat komuniti Labuan.

"Ia merupakan satu perasaan dan pengalaman yang sungguh indah. Ia benar-benar terasa seperti pulang ke pangkuan keluarga, kepada sebuah komuniti yang menyambut kami dengan mesra. Kami amat teruja dan berasa rendah diri dengan sambutan rakyat dan komuniti di Labuan," katanya.

Kali terakhir kapal berkenaan berlabuh di Labuan adalah pada tahun 2003, semasa pelayaran ke Asia Tenggara, selepas singgah di Magong, Taiwan dan sebelum meneruskan perjalanan ke Puerto Princesa, Filipina.

Doulos Hope kini dikendalikan oleh seramai 103 sukarelawan dari 35 buah negara, berumur antara 17 hingga 72 tahun, menjadikan kapal itu bukan sekadar perpustakaan, malah simbol penyatuan budaya global.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE