fb fb fb fb fb

Malaysia raih pengiktirafan antarabangsa di sidang kemuncak WSIS+20

Datuk Fahmi menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kemampuan negara dalam teknologi digital. - Foto Bernama

GENEVA, 11 Julai - Malaysia catat kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila memenangi beberapa anugerah utama sempena Sidang Kemuncak Dunia Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) yang berlangsung dari 7 hingga 11 Julai di Geneva, Switzerland.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu amat bermakna apabila Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terpilih sebagai salah satu daripada 18 juara dunia, menerusi 970 projek yang dicalonkan.

Pengiktirafan diraih menerusi Inisiatif NADI Pulau Banggi yang berjaya menyediakan literasi digital, latihan kemahiran dan peluang ekonomi kepada komuniti pulau terpencil. Inisiatif ini turut memenangi kategori Pembinaan Kapasiti. Manakala Projek Stingray II Pulau Ketam hasil kerjasama MCMC dan Telekom Malaysia pula dinobatkan sebagai juara kategori Infrastruktur Maklumat dan Komunikasi.

Malaysia turut memenangi kategori E-Kesihatan melalui sistem MyHeart oleh UiTM dan Universiti Malaya, serta kategori Etika Masyarakat Bermaklumat melalui aplikasi Penang Stop Violence oleh PWDC dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Datuk Fahmi menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kemampuan negara dalam teknologi digital dan komitmen berterusan untuk memajukan rakyat secara inklusif.

TUN JULIA MOHD TAHIR