fb fb fb fb fb

UKM-BlackBerry memeterai MoU, kukuh ekosistem pendidikan & keselamatan digital

Foto Facebook Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Satu memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan BlackBerry Technology Malaysia Sdn. Bhd telah dimeterai dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dan keselamatan digital negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menerusi hantaran Facebook memaklumkan menandakan kesungguhan Malaysia untuk melahirkan tenaga mahir digital yang beretika, kompeten dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Melalui inisiatif ini, pelajar dan tenaga kerja UKM akan mendapat akses kepada latihan industri sebenar, kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa, serta pensijilan global di bawah program QNX Everywhere yang dibangunkan oleh BlackBerry.

"Inilah bentuk kolaborasi yang kita impikan antara universiti dan industri, antara Malaysia dan rakan global untuk membina masa depan digital yang lebih selamat, berdaya tahan dan berwawasan.

"Dalam era di mana dunia digital berkembang pesat, daya tahan siber bukan lagi pilihan, tetapi keperluan asas bagi kelangsungan negara dan kestabilan rantau ASEAN," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) komited untuk terus memperkukuh jaringan antarabangsa dan memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia menjadi rujukan utama dalam pembangunan bakat dan teknologi.

"Saya percaya kerjasama seperti ini juga memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Kanada, mencerminkan bagaimana ilmu dan inovasi boleh menjadi jambatan diplomasi dalam membina dunia yang lebih selamat dan inklusif.

"Kita ingin melihat pelajar Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta masa depan digital yang memimpin dengan nilai, etika, dan kemahiran global," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI