fb fb fb fb fb

Presiden Afrika Selatan akhiri lawatan rasmi ke Malaysia

Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)/ BERNAMA

SEPANG, 28 Oktober - Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa berlepas pulang malam tadi selepas mengakhiri lawatan rasmi selama empat hari ke Malaysia.

Pesawat khas yang membawa beliau berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.30 malam, selepas upacara pelepasan pulang yang disertai hamparan permaidani merah serta kawalan kehormatan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang hadir mengucapkan selamat jalan kepada beliau.

Ramaphosa berada di Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sebagai Tetamu Pengerusi atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawatan itu merupakan kunjungan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak menjawat jawatan sebagai Presiden pada Februari 2018.

Sepanjang lawatan, Ramaphosa turut menerima Ijazah Doktor Kehormat dalam Hubungan Antarabangsa dari Universiti Malaya (UM) sebagai pengiktirafan terhadap komitmen beliau memperjuangkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan diplomasi global.

Dalam syarahan awam di universiti itu, beliau menyifatkan penderitaan rakyat Gaza yang sekian lama ditindas dan dinafikan hak sebagai satu bentuk genosid.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap hubungan erat Malaysia-Afrika Selatan, yang disifatkan sebagai 'solidariti berprinsip' dan terus menjadi asas kerjasama dalam pelbagai bidang.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menjadi tuan rumah kepada lebih 30 pemimpin dunia, termasuk dari rantau ASEAN serta Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Brazil, Australia, New Zealand dan Afrika Selatan, bagi memperkukuh hubungan serta kerjasama menangani isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI