
SAUDARA PENGARANG
- Lithium kekal rawatan utama untuk mencegah episod mania dan kemurungan dalam gangguan bipolar.
- Lithium mengurangkan keimpulsifan dan dikaitkan dengan penurunan risiko bunuh diri.
- Penggunaan lithium menurun kerana keperluan pemantauan darah dan kebimbangan kesan sampingan.
- Kajian menunjukkan lithium mengubah pemprosesan emosi, mengurangkan sensitiviti terhadap rangsangan emosi negatif.
Lithium merupakan satu bahan utama yang digunakan dalam bateri; dapat dicas semula seperti bateri telefon pintar, komputer riba dan kenderaan elektrik. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa lithium juga merupakan salah satu ubat yang paling penting dalam sejarah psikiatri.
Penggunaan lithium dalam rawatan psikiatri bermula sejak pertengahan abad ke-19. Bagaimanapun, potensi lithium dalam perubatan hampir dilupakan sebelum diperkenalkan semula oleh Dr. John Cade, seorang pakar psikiatri dari Australia.
Beliau telah berjaya membuktikan keberkesanan lithium untuk mengubati gangguan bipolar fasa mania. Penemuan ini menjadi satu titik perubahan penting dalam rawatan moden penyakit mental.
Keberkesanan Lithium Merawat Gangguan Mental
Sehingga hari ini, lithium masih kekal sebagai rawatan utama untuk mencegah episod berulang serta merawat fasa mania dan kemurungan dalam gangguan bipolar. Lithium juga dapat digunakan sebagai ubat tambahan bagi pesakit kemurungan yang tidak memberi respon mencukupi terhadap ubat-ubat anti kemurungan yang standard.
Salah satu kesan lithium yang menarik ialah keupayaannya untuk mengurangkan keimpulsifan dalam manusia dan haiwan. Keimpulsifan merupakan kecenderungan untuk bertindak tanpa berfikir panjang.
Kecenderungan itu juga adalah salah satu faktor utama yang dikaitkan dengan tingkah laku bunuh diri. Satu laporan yang menghimpunkan pelbagai kajian yang membandingkan lithium dengan ubat-ubatan lain atau plasebo menunjukkan bahawa rawatan lithium dikaitkan dengan pengurangan risiko bunuh diri.
Mengapa Penggunaan Lithium Semakin Berkurang?
Walaupun bukti saintifik yang kukuh menyokong manfaatnya, penggunaan lithium dalam rawatan psikiatri semakin menurun sejak kebelakangan ini. Data global menunjukkan bahawa lithium masih kurang digunakan dalam rawatan gangguan bipolar walaupun garis panduan klinikal terus mencadangkannya sebagai rawatan barisan pertama.
Beberapa faktor mungkin menyumbang kepada keadaan ini. Lithium memerlukan pemantauan berkala melalui ujian darah, dan kebimbangan terhadap kesan sampingan mungkin menyebabkan sesetengah doktor dan pesakit berasa bimbang. Selain itu, kemunculan rawatan yang lebih baharu, khususnya ubat antipsikotik, turut mempengaruhi pilihan preskripsi.
Mengimbangi Keselamatan dan Keberkesanan
Namun demikian, banyak kesan sampingan lithium sebenarnya boleh dikawal melalui pemantauan klinikal yang rapi. Dengan pengetahuan yang betul serta pemeriksaan berkala, lithium boleh digunakan secara selamat dan berkesan.
Penting untuk diingatkan bahawa rawatan lain seperti antipsikotik juga mempunyai profil kesan sampingan tersendiri. Pemantauan berkala juga diperlukan untuk ubat-ubat daripada kelas ini.
Kajian Terbaru Lithium Terhadap Otak
Bagi memahami bagaimana lithium berfungsi dalam otak secara lebih mendalam, kami selaki pengkaji menjalankan satu kajian di Universiti Oxford untuk menilai kesannya terhadap pemprosesan emosi dan keimpulsifan. Kajian tersebut melibatkan sukarelawan sihat yang menerima rawatan lithium untuk tempoh lima hari.
Peserta kajian menerima rawatan lithium dan plasebo secara rawak. Satu tempoh tanpa ubatan antara pengambilan ubat lithium dan plasebo diatur bagi memastikan ubat pertama telah disingkirkan sepenuhnya sebelum fasa rawatan seterusnya bermula.
Penemuan dalam Kajian
Kami mendapati bahawa lithium mempengaruhi cara individu memproses maklumat berkaitan emosi. Secara khusus, peserta menjadi kurang sensitif terhadap rangsangan emosi negatif seperti ekspresi wajah sedih. Mereka juga mengambil masa yang lebih lama untuk memberikan respon terhadap perkataan negatif yang berkaitan dengan diri sendiri.
Dapatan ini mencadangkan bahawa lithium dapat membantu mengimbangi pemprosesan emosi dengan mengalihkannya daripada kecenderungan negatif kepada pemprosesan emosi yang lebih neutral atau positif.
Hal ini penting kerana bias emosi negatif sering dilaporkan dalam kemurungan, termasuk kemurungan yang tidak dapat dirawat dengan ubat-ubat anti kemurungan standard. Bias negatif juga berguna sebagai penanda awal tindak balas terhadap rawatan.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa ubat anti kemurungan yang berkesan boleh mengubah bias pemprosesan emosi dalam tempoh beberapa jam atau hari. Secara umum, pesakit biasanya hanya dapat merasakan perubahan gejala yang ketara setelah mengambil ubat-ubat anti kemurungan yang standard setelah beberapa minggu.
Walaupun kajian terbaharu kami tidak menemukan bukti kukuh bahawa lithium mengurangkan keimpulsifan dalam tugasan yang diberikan, manfaat klinikalnya dalam mengurangkan risiko bunuh diri tetap disokong banyak kajian yang lain.
Di Malaysia, perbincangan mengenai kesihatan mental semakin terbuka. Kesedaran masyarakat mengenai kesihatan semakin meningkat, namun stigma berkaitan penyakit atau gangguan kesihatan mental masih menebal. Dalam usaha memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental dan menggalakkan rawatan berasaskan bukti, kita tidak seharusnya mengetepikan ubat yang telah lama terbukti keberkesanannya.
Ubat Lama yang Wajar Digunakan
Lithium mungkin bukanlah ubat baharu atau popular, namun ia masih kekal sebagai rawatan yang mempunyai bukti saintifik yang kukuh bagi gangguan bipolar dan kemurungan yang sukar dirawat. Kadang kala, penyelesaian yang bernilai bukanlah datang daripada penemuan yang paling baharu, tetapi daripada sesuatu yang telah lama membantu kita secara senyap selama beberapa dekad.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Fitri Fareez Ramli
Pensyarah Perubatan
Jabatan Farmakologi
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
fitrifareez@ukm.edu.my