BALING, 27 Oktober – Seramai 35 penduduk Desa KEDA di Daerah Baling hari ini menerima Geran Hakmilik Rumah Desa, sebagai sebahagian usaha berterusan memperkasa kesejahteraan komuniti luar bandar.
Naib Presiden Majlis Pusat Kebajikan Semalaysia (MPKSM), Datuk Khairul Azhar Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) atas keprihatinan membantu masyarakat luar bandar memiliki kediaman yang selesa serta memperkukuh ekonomi desa.
Beliau turut menggesa penerima agar menghargai pemberian tersebut dengan menjaga rumah dan persekitaran kampung, selain menunaikan tanggungjawab membayar cukai tanah.
“Kita mesti bermotivasi untuk menjadi lebih hebat, memberi sumbangan semula kepada komuniti, membina kehidupan yang baik, serta sentiasa bersyukur dan berterima kasih,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Geran Hakmilik Rumah Desa di Desa KEDA Teluk Teduri, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Khairul Azmeer Abu Bakar.
Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan Bantuan Rumah di bawah Program Penempatan Rakyat Sejahtera (PPRS) kepada dua keluarga, serta Bantuan Ekonomi kepada lima usahawan melalui Program Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT).