fb fb fb fb fb

5 mangsa nahas helikopter di Sungai Pulai dilaporkan stabil

Datuk Seri Azmi Abu Kassim bercakap kepada media selepas melawat lima mangsa kemalangan helikopter di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru hari ini / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 11 Julai – Lima anggota keselamatan yang terlibat dalam nahas helikopter di Sungai Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, termasuk dua yang sebelum ini dilaporkan kritikal.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim, salah seorang mangsa, Konstabel RG. Devendran, masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), namun tindakan menidurkan beliau hanya sebagai langkah kawalan untuk mempercepatkan proses pemulihan.

“Saya berpeluang melawat dan bercakap dengan empat pegawai tadi. Alhamdulillah mereka berada dalam keadaan stabil. Seorang lagi ditidurkan bagi mengurangkan pergerakan fizikal, seperti dinasihatkan doktor,” katanya ketika ditemui media.

Seorang lagi mangsa, Korperal Adeline Liu Yan Siu, yang sebelum ini turut dirawat di ICU, kini telah sedar dan menunjukkan perkembangan positif.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa turut berkongsi keadaan terkini mereka yang terselamat.

Menurut Lizah Omar, kakak ipar kepada juruterbang Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Faizul Muhammad, keadaan mangsa menunjukkan perubahan ketara sejak semalam.

“Hari ini alhamdulillah 80 peratus okey, dah boleh makan, berbual, siap minta kuih. Cuma perancangan ke Terengganu Ahad ini tak kesampaian, jadi isterinya sahaja yang akan ke sana,” jelasnya.

Abang kepada RG. Devendran, RG. Navindran pula berkata, beliau menerima berita mengenai kejadian itu semalam dan amat terkejut dengan insiden berkenaan.

“Kita terpaksa terima sebab ini kemalangan. Harap adik saya cepat sembuh,” ujarnya ringkas.

Kesemua lima mangsa kini menerima rawatan rapi dan pemantauan berterusan oleh pihak hospital.

Kejadian nahas tersebut sedang disiasat oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE