RTM terima anugerah pengiktirafan media dari UPM

Majlis Promosi UPM 2026 di Serdang

SERDANG, 8 April – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengungguli dan menerima hadiah wang tunai RM500, plak dan sijil menerusi kategori Liputan Berita Penyelidikan Tertinggi Anugerah Visibiliti Media 2025 Universiti Putra Malaysia (UPM), sempena Majlis Promosi UPM 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • UPM menghargai peranan media dalam meningkatkan visibiliti universiti dan menegaskan penghargaan berterusan terhadap kerjasama media pada 2025.
  • BERNAMA memenangi Anugerah Liputan Media Tertinggi, membawa pulang plak dan sijil sebagai pengiktirafan liputan cemerlang.
  • Penerbit Ahmad Muies dipilih Penerbitan Rancangan Terbaik untuk Agrotek 'Rimbunan Hijau'; Selangor FM diiktiraf sebagai Rakan Strategik Media.

Pengiktirafan lain yang diterima termasuk Anugerah Liputan TV Tertinggi, Anugerah Liputan Radio Tertinggi (NASIONALfm), Liputan Portal Dalam Talian Tertinggi dan Penghargaan Khas Program Bual Bicara (Selamat Pagi Malaysia).

Naib Canselor UPM. Datuk Prof. Ir Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, anugerah tersebut bagi mengiktiraf sokongan media dalam mengarusperdanakan peranan serta sumbangan institusi itu khususnya dalam pembangunan sains dan teknologi pertanian.

“Kami menghargai peranan pihak media dalam meningkatkan visibiliti universiti. Tanpa sokongan media, impak yang dibawa Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak akan mencapai tahap seperti yang kita lihat hari ini.

“Tahun 2025 merupakan tahun yang cemerlang dari segi visibiliti universiti, dan setiap tahun kita akan terus menghargai kerjasama ini bersama rakan-rakan media,” katanya pada Majlis Promosi UPM 2026 di sini malam tadi.

Anugerah utama iaitu Liputan Media Tertinggi dimenangi oleh BERNAMA yang membawa pulang RM1,500.00, plak dan Sijil Anugerah.

Sementara itu, Penerbit Rancangan RTM, Ahmad Muies Abdul Gapar dipilih sebagai pemenang bagi kategori Penerbitan Rancangan Terbaik menerusi Rancangan Agrotek RTM bertajuk ‘Rimbunan Hijau’.

“Alhamdulillah, hasil kerja keras ini dirasakan berbaloi apabila pihak Universiti Putra Malaysia sendiri memberikan pengiktirafan kepada program RTM.

“Seperti yang kita sedia maklum, Agrotek sememangnya berteraskan industri asas tani, jadi kerjasama dengan UPM ini amat bertepatan,” katanya.

Stesen Radio RTM, Selangor FM pula antara penerima sijil pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Media berdasarkan potensi dan komitmen kerjasama strategik dalam memperluas capaian serta memperkukuh komunikasi universiti berkenaan.

Bagi Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Selangor Norianti Nordin, kerjasama antara RTM dan UPM disifatkan sebagai ruang memperkukuh informasi dalam dunia penyiaran.

“Selangor FM dan Universiti Putra Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dengan UPM menyalurkan pakar dan pensyarah untuk berkongsi ilmu, pandangan serta kepakaran mereka.

“Kami juga mempunyai satu slot khas bersama UPM, iaitu i-Nutrisi, yang bersiaran setiap hari Selasa pada pukul 2.15 petang.

“Terima kasih kepada Universiti Putra Malaysia atas kesediaan berkongsi kepakaran dan tenaga bersama Selangor FM, sekali gus memberi manfaat kepada para pendengar kami,” katanya.

Bagi kategori Anugerah Visibiliti Media Cetak, tempat pertama dimenangi akhbar Utusan Malaysia, manakala tempat pertama bagi kategori Liputan Bahasa Inggeris Tertinggi diberikan kepada The Star dan Sin Chew Daily pula menjuarai kategori Liputan Bahasa Mandarin Tertinggi.