KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kepimpinan Malaysia dalam menerajui Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh peranan negara di peringkat serantau serta memperluas jaringan diplomasi antarabangsa.
Ahli Parlimen ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan 2026 menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan yang komited mengangkat imej Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Wakil Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata rakyat Malaysia wajar berbangga menjadi tuan rumah kepada perhimpunan besar pemimpin dunia yang membincangkan isu hubungan dua hala, perdagangan antarabangsa, keselamatan maritim dan keamanan serantau.
“Kita juga harus berbangga kerana Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN menjadi pendamai antara Thailand dan Kemboja menerusi pemeteraian KL Peace Accord yang disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump,” kata beliau di Dewan Rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan dan pasukan ekspedisi Sumud Flotilla yang menggalas misi pelayaran kemanusiaan ke Gaza, Palestin baru-baru ini.