JOHOR BAHRU, 27 Oktober – Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan Modul Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana (DRR) bagi meningkatkan kesiapsiagaan warga sekolah menghadapi bencana, khususnya banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata modul berkenaan memberi pendedahan awal serta latihan berterusan kepada guru dan pelajar bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi sekolah semasa bencana.
Beliau menjelaskan, modul itu menekankan aspek pendidikan, latihan dan kefahaman risiko bencana, di samping memperkukuh kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Sukarelawan KPM bagi melahirkan warga sekolah yang lebih bersedia dan berdaya tahan.
Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Aminuddin Hassim/RTM
“Kita mahu memastikan murid dan guru sentiasa bersedia. Rakan-rakan NADMA juga akan turut bersama KPM dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada mangsa bencana. Kita maklum, mangsa berada dalam keadaan tertekan dan memerlukan bimbingan serta bantuan dan di sinilah peranan guru dan sukarelawan untuk membantu mereka dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, di sini, hari ini.
KPM komited memastikan lebih enam juta murid bersama 430,000 pendidik di lebih 10,000 sekolah di seluruh negara sentiasa berada dalam tahap kesiapsiagaan optimum menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Langkah proaktif itu membuktikan komitmen KPM dalam melindungi keselamatan warga sekolah, sekali gus membina generasi yang berdaya tahan, tangkas dan mampu bertindak pantas ketika krisis.