fb fb fb fb fb

TVET diperkasa sebagai teras utama pembangunan sosioekonomi - Zahid

PUTRAJAYA, 26 Januari - Ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan terus diperkasa sebagai teras utama kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu selaras usaha kerajaan untuk melonjakkan modal insan berkemahiran tinggi.

Sekali gus memastikan bidang TVET menjadi pilihan utama pendidikan dan kerjaya belia luar bandar.


(Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi)

"Kita hendak tengok kebolehpasaran TVET, kebetulan saya Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan dan ada sebelas kementerian laksanakan program TVET. peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, TVET memperlihatkan pencapaian tinggi kebolehpasaran lebih 98.5% dan semua kursus bersesuaian keboleh asaran guna tenaga," katanya.


Tambahnya, selain pemerkasaan TVET, isu infrastruktur luar bandar akan terus diberi perhatian dan dimasukkan dalam bajet yang akan dibentang pada bulan depan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB)

MEXCLUB merupakan platform meningkatkan persefahaman dan kerjasama di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya dalam pelaksanaan program dan projek-projek pembangunan luar bandar berpandukan visi Malaysia Madani.

MEXCLUB kali ini merupakan sesi 1/2023 dan sehingga kini telah dilaksana sebanyak 55 kali.

Keahlian MEXCLUB melibatkan Exco-Exco Luar Bandar, wakil daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri serta agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Media Baharu