fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Pahang meningkat, bantuan di empat PPS disegerakan - JKM

PAHANG, 26 Januari - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang membantu empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kadar segera agar penghuninya berada dalam keadaan selesa selain cukup bekalan makanan.

Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, bantuan khemah, makanan dan keperluan lain telah diberikan semalam, sejak PPS tersebut dibuka.


(Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan ketika melawat PPS di sini)

Malah pihak JKM juga bersiap siaga bagi jika berlaku pertambahan penduduk yang terjejas memandangkan hujan belum reda sejak semalam.

"Alhamdulillah keadaaan nampaknya terkawal apa yang kita kena tengok baru hari ini hari pertama di sini dan tengok keadaan cuaca seolah olah hari hendak hujan mungkin ada penambahan bilangan mangsa, tapi insya-Allah semua pihak berkaitan sedang bersiap siaga bagi menangani mangsa-mangsa banjir yang akan berpindah ke sini," katanya di sini.

Sementara, Adun Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berterima kasih kepada JKM yang menghulurkan bantuan dalam kadar segera kepada penghuni PPS di Rompin.

"Kita ucap terima kasih kepada semua, pada JKM, yang telah menghulurkan bantuan segera bagi menampung keperluan penghuni-penghuni di PPS, dan setakat ini kita kemaskini dari masa ke semasa perkara yang di perlukan untuk tindakan segera," katanya ketika mengunjungi PPS Balairaya Kampung Setajam di Rompin, Pahang.

Secara keseluruhan seramai 320 penduduk terdiri daripada 96 keluarga dipindahkan ke 4 PPS di daerah Rompin setakat petang tadi.

Empat PPS itu adalah Balairaya Perwira Jaya, Balairaya Setajam, Balairaya Bukit Lepas dan Balairaya Kampung Rekoh.


Media Baharu