fb fb fb fb fb

TVET bukan lagi pilihan kedua, sumbang tenaga kerja berkemahiran

Antara perserta terlibat pada program Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Utara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Perlis

KUALA PERLIS, 24 Mei - Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi teras kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail berkata, sistem pendidikan itu bukan lagi pilihan kedua malah berupaya melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan produktif.

"Di Perlis ini misalnya, projek seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Pelabuhan Darat Perlis (PIP) memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan, automasi, logistik dan teknologi boleh baharu seperti sistem panel solar, sistem kompos makanan dan sebagainya." katanya pada Majlis Perasmian Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Utara di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Hasrat kerajaan negeri menjadikan TVET sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri, bukan sahaja dalam bentuk pekerjaan malah sebagai ruang keusahawanan, inovasi, dan pembangunan teknologi industri kecil dan sederhana (IKS).

"Kerajaan Negeri Perlis sememangnya sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pihak dalam memperkukuh ekosistem TVET dimana sinergi antara institusi latihan dan pemain industri amat penting untuk memastikan setiap latihan yang diberikan benar-benar menepati keperluan sebenar pasaran pekerjaan," katanya.

Dalam pada itu Hari Kerjaya TVET ILKBS Zon Utara melibatkan penyertaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar serta pelbagai agensi kerajaan.

Usaha melaksanakan program tersebut adalah selari dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan SPM melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang penghujung tahun ini serta melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030.

TETITIA YUSOFF