KUALA LUMPUR, 24 Mei - Malaysia mula menerima ketibaan perwakilan tertinggi dari negara-negara Asia menjelang pembukaan rasmi Sidang Kemuncak ASEAN
ke-46.
Sidang kemuncak itu dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Antara menteri luar yang tiba lewat malam tadi ialah Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa; Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn dan Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane.
Manakala Menteri Luar Bahrain, Dr Abdullatif Rashid Al Zayani tiba pagi ini.
Ketibaan menteri-menteri luar dan delegasi mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut wakil dari Kementerian Luar.
Sidang kemuncak kali ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan pelbagai isu geopolitik dan ekonomi serantau.
Ia juga mencipta sejarah tersendiri dengan penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, platform tiga hala yang pertama kali diadakan.
Perdana Menteri China, Li Qiang, dijadual mengetuai delegasi Beijing dalam sidang bersejarah itu.
Selain itu, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 juga akan diadakan sejurus selepas sidang utama.