fb fb fb fb fb

Hampir 500 peserta raih manfaat 'AI Summer Camp 2025'

Foto Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE)

KANGAR, 16 Julai - Hampir 500 peserta menyertai program AI Summer Camp Se-Malaysia 2025 yang berlangsung di tiga lokasi iaitu Politeknik Tuanku Syed Putra bagi Zon Utara, Politeknik Kota Bharu bagi Zon Timur dan Politeknik Bagan Datuk bagi Zon Tengah.

Program melibatkan pelajar politeknik dan Kolej Komuniti dari tiga zon itu merupakan usaha berterusan untuk melengkapi lebih ramai pelajar dengan kemahiran teknologi semasa, agar lebih bersedia menghadapi pasaran kerja berteknologi tinggi.

Pengarah Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, program itu selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam Revolusi Industri 4.0 dan melihat bahawa Teknologi Buatan (AI) bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan asas untuk bersaing di peringkat global.

"FCoEE percaya, setiap pelajar berhak mendapat akses kepada ilmu dan peluang dalam bidang teknologi, tanpa mengira latar belakang. Para peserta perlu bersedia dan mengambil peluang sepenuhnya dalam menghadapi dunia AI yang semakin mencabar, demi membina masa depan yang lebih mampan dan inklusif.

"Program ini direka untuk membina kemahiran masa hadapan melalui pendekatan pembelajaran yang menyeluruh dan berasaskan industri, merangkumi pembelajaran berasaskan projek dunia sebenar, bengkel pembelajaran secara terus dalam menerokai pembelajaran berasaskan AI bersama pakar industri dan sesi mentor individu," katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini, AI Summer Camp Se-Malaysia 2025 sedang berlangsung di Politeknik Bagan Datuk, Perak selama empat hari hingga esok (17 Julai), melibatkan 80 peserta dari politeknik dan kolej komuniti bagi Zon Tengah.

Program itu dianjurkan oleh FCoEE dengan kerjasama Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Bagan Datuk.

MASNIZA AWANG KECHIK