fb fb fb fb fb

Sultan Selangor pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan mempengerusikan Mesyuarat Raja-Raja ke-269 di Istana Negara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-269 yang berlangsung di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat ke mesyuarat itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Selain itu, turut sama berangkat ialah Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke pramesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 di Istana Negara.

Kali terakhir mesyuarat berkenaan diadakan pada 5 Februari lepas dipengerusikan oleh Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

ROSLINA BINTI DIN