PORT DICKSON, 24 Jun- Pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan kerjasama kerajaan negeri, institusi pendidikan serta industri memberi impak signifikan terhadap pelbagai sektor.
Antaranya sektor pembuatan, perkhidmatan dan teknologi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata TVET memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri bagi menghasilkan tenaga kerja mahir dan kompeten.
"Dengan penyediaan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, kita dapat menarik lebih banyak pelaburan khususnya dalam kawasan industri strategik seperti projek Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
"Ia dijangka membawa faedah besar dalam penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi," katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Program Eksplorasi TVET Madani di Dewan Wawasan Politeknik, di sini.
Program tersebut menghimpunkan seramai 450 pelajar sekolah menengah, pelajar kolej vokasional serta pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di daerah Port Dickson.
Eksplorasi TVET Madani turut menampilkan panel berpengalaman iaitu bekas Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Nurul Izzah Anwar.