GEORGE TOWN, 17 Ogos - Eksesais Tentera Laut Multilateral ASEAN ke-3 (AMNEX 3) yang berlangsung hari ini di Padang Kota, George Town mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Acara tahunan itu bukan sahaja menjadi platform riadah mengeratkan hubungan kekeluargaan, malah menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.
Ia turut disertai pengunjung dari luar Pulau Pinang bagi merasai pengalaman menaiki kapal tentera dari pelbagai negara.
"Memang teruja sangat! Orang Penang tiba-tiba dapat tengok ASEAN Navy Parade, diadakan semula pada tahun 2025. Sekarang ini banyak teknologi moden, ada persembahan kebudayaan, ada sekolah, ada band, kru Navy pun semuanya ‘matching’ dan kemas. Memang best sangat. Ada 10 kapal, mungkin setiap orang boleh naik satu kapal. Dari tujuh negara ASEAN dan tiga kapal dari Malaysia," kata salah seorang pengunjung, Sharifah Juairiah Syed Jamal Ahmad.
Pengunjung Khairil Hariss Khairuddin pula berkongsi keterujaan menyaksikan persembahan pancaragam anggota tentera laut daripada negara-negara ASEAN yang mengibarkan bendera masing-masing dalam suasana penuh semangat dan harmoni.
"Saya rasa sangat seronok bila tengok pancaragam dan kawad beramai-ramai dari seluruh ASEAN. Bendera pun banyak. Ini pertama kali saya dapat naik kapal perang", katanya.
Turut berkongsi keterujaan adalah warga Indonesia yang tinggal di Malaysia, Siti Aishah Abdul Muin, yang berpeluang melihat kapal dari tanah airnya sendiri.
"Memang seronok sangat. Ini kali pertama saya tengok kapal dari Indonesia. Walaupun kakak duduk di negara orang, saya rasa sangat bahagia dapat tengok kapal negara sendiri datang ke sini. Kami dijemput dan dilayan baik," ujarnya.
AMNEX 3 berlangsung bermula 16 hingga 22 Ogos sempena Mesyuarat Panglima Tentera Laut Negara ASEAN (ANCM) ke-19.
Eksesais melibatkan 10 buah negara itu bertujuan meningkatkan kerjasama, di samping memberi jaminan keselamatan terhadap perairan serantau.