fb fb fb fb fb

Rumah diberi wajah baharu oleh YSIJ, penerima luah rasa syukur

Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

MERSING, 17 Ogos - Dua keluarga yang ditimpa musibah menarik nafas lega selepas menerima bantuan baik pulih kediaman daripada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Menerusi perkongsian di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, salah seorang penerima, Alim Mahroji, 35, melahirkan rasa syukur apabila rumahnya yang musnah dalam kejadian pada April lalu dirempuh sebuah bas ekspres, kini dibina semula dengan wajah baharu.

“Pada awalnya saya buntu melihat keadaan rumah saya, tambahan pula dua kereta turut hancur. Dengan pendapatan sebagai pengawal keselamatan, kos pembaikan rumah sudah tentu menelan belanja besar.

“Namun, saya amat lega apabila YSIJ tampil menghulurkan bantuan. Sesungguhnya ini juga rezeki buat kami sekeluarga, apatah lagi isteri baru melahirkan anak keempat beberapa hari selepas kejadian berlaku,” katanya kepada Royal Press Office (RPO).

Majlis penyerahan kunci rumah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian, dengan disaksikan oleh Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Jamian, pada majlis yang berlangsung pada Jumaat lalu (15 Ogos).

Turut menerima bantuan, Zuraidi Abd Razak, 35, yang rumahnya terbakar akibat litar pintas pada Ogos tahun lalu.

“Alhamdulillah, walaupun pada awalnya saya amat sedih melihat hampir separuh rumah terbakar, kini saya sekeluarga dapat menikmati rumah baharu yang jauh lebih selesa berbanding sebelum ini,” ujar Zuraidi dengan penuh syukur.

Pada majlis yang sama, YSIJ turut menyumbangkan 500 bakul makanan kepada penduduk Mukim Padang Endau dan 500 bakul makanan bagi Mukim Jemaluang.

Majlis berlangsung di Dewan Serbaguna Tok Mior, Kampung Air Tawar serta Dewan Terbuka Kampung Sri Pantai, Jemaluang, Mersing.

ROSLINA BINTI DIN