fb fb fb fb fb

Ibu reda, tetap tunggu jasad anak di Sungai Dungun

Yusliza Yusof (kiri) ibu kepada Nik Zarif Qausar Nik Sulaiman mengharapkan jasad anaknya ditemui

DUNGUN, 17 Ogos – “Kita reda dah, kita tahu dia dah tak ada… cuma kita harap jasad dia dapat ditemukan.”

Itu luahan pilu Yusliza Yusof, 45, ibu kepada Nik Zarif Qausar Nik Sulaiman, 12, yang dipercayai lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Dungun, Kampung Delong, petang semalam.

Yusliza tidak menyangka permintaan anak bongsunya keluar bermain bertukar tragedi selepas dimaklumkan dia lemas dihanyutkan arus deras.

“Beberapa kali juga dia pergi mandi sungai sebelum ini… saya tak bimbang sangat sebab dia pandai berenang. Tapi semalam lain, arus deras bawa dia pergi.

"Masa dia termenung tu saya ada tegur, tapi dia cuma jawab tak ada apa-apa. Saya hanya harap jasadnya segera ditemui,” katanya sebak ketika ditemui RTM hari ini.

Sejak petang semalam, Yusliza bersama suami dan empat lagi anak mereka setia menunggu di tebing sungai, mengharapkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dapat menemukan mangsa secepat mungkin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 petang, Nik Zarif Qausar yang juga murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Delong dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi bersama tiga rakannya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga rakan mangsa sempat berenang menyelamatkan diri, manakala Nik Zarif gagal keluar selepas dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan operasi SAR digerakkan sejak petang semalam.

“Operasi pencarian bersambung pagi ini membabitkan pelbagai agensi, namun sehingga pukul 3 petang, mangsa masih belum ditemukan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN