fb fb fb fb fb

Badan pensijilan halal AS boleh ditarik balik, jika langgar standard JAKIM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November - Malaysia boleh menarik balik pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada dua badan pensijilan halal di Amerika Syarikat (AS) sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap mana-mana standard dan protokol halal negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata kedua-dua badan itu diberikan pengiktirafan berdasarkan pematuhan mereka terhadap standard dan protokol halal Malaysia sedia ada.

"Jadi apabila audit yang dijalankan oleh JAKIM kepada dua badan pensijilan ini, kalau berlaku sebarang pelanggaran JAKIM boleh tarik balik pengiktirafan kepada badan tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tegasnya, JAKIM tidak akan berkompromi terhadap pematuhan standard halal produk dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dengan AS.

Perkara 2.5 ART menyatakan mana-mana badan persijilan halal luar negara termasuk dari AS tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur syariah dan standard halal Malaysia.

Mengenai Pasukan Pemantau Mesra atau Muslim Friendly Watch (MFW), beliau berkata MFW telah diarahkan menghentikan serta-merta penggunaan pengiktirafan logo label atau sebarang bentuk kenyataan berkaitan ‘Muslim Choice’ yang boleh mengelirukan masyarakat.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ