fb fb fb fb fb

KPDN siasat kenaikan tambang bot laju Menumbok–Labuan

Orang ramai menggunakan perkhidmatan bot laju yang beroperasi membawa penumpang ke Labuan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 November - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memulakan siasatan terhadap tindakan menaikkan harga tambang bot laju antara Menumbok dan Labuan yang dikuatkuasakan sejak 1 November lalu.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali, berkata siasatan dijalankan susulan aduan diterima daripada mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury, berhubung notis kenaikan tambang sebanyak RM3 sehala yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok.

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah diarahkan memulakan siasatan dari aspek amalan anti-persaingan di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

“Sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga atau tambang melalui pakatan, sama ada melalui persatuan atau tidak, adalah pelakuan kartel yang serius dan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Armizan berkata KPDN melalui MyCC sebelum ini telah mengenakan penalti kewangan berjumlah RM687.9 juta terhadap 270 syarikat yang terbabit dalam kegiatan kartel dan monopoli, termasuk lima syarikat feri RORO di Langkawi yang dikenakan penalti sebanyak RM2.2 juta.

Beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk sabotaj ekonomi melalui aktiviti kartel yang menjejaskan kepentingan pengguna dan pemain industri lain.

Selain itu, Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS) KPDN juga sedang mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Laut Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan bagi menentukan status perlesenan serta pendaftaran pengusaha bot terbabit.

"Pengusaha bot berdaftar sebenarnya layak menikmati subsidi petrol RON95 di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) yang dikawal selia KPDN.

“Oleh itu, alasan kenaikan tambang kerana peningkatan kos bahan api tidak wajar memandangkan kerajaan telah menyediakan kemudahan subsidi kepada mereka,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan menaikkan harga tambang tersebut memberi kesan langsung terhadap kos sara hidup rakyat, khususnya pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan pengangkutan bot laju setiap hari.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ