KUALA LANGAT , 17 Ogos - Sebanyak 81 'Wellness Hub' atau Pusat Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan akan dibangunkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2033.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sehingga kini sebanyak 33 buah 'Wellness Hub' telah dibuka di seluruh negara meliputi kawasan luar bandar dan bandar, yang menawarkan pelbagai pakej perkhidmatan kesejahteraan kesihatan secara komprehensif.
Ia selaras dengan konsep peralihan daripada penjagaan ketika sakit (sick care) kepada penjagaan kesihatan menyeluruh (healthcare).
"Dalam perancangan kami, kalau kita melihat kepada kehadapan nanti, insya-Allah. Pada masa ini, ada 33, tetapi kita menyasarkan untuk membangunkan 81 buah 'Wellness Hub' di seluruh negara.
"Saya tekankan sekali lagi, walaupun fasiliti-fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan adalah penting, tetapi saya memandang kepada 'Wellness Hub' sebagai pangkalan sebagai wahananya sebagai infrastruktur dan ekosistem yang kita bangunkan terutama di bandar dan di luar bandar sebagai kesejahteraan, penjagaan kesihatan yang sebenar", katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Wellness Hub Kuala Langat di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan hampir 80.3 peratus (948) daripada 1,181 pegawai bomba telah berjaya menurunkan berat badan menerusi intervensi pengurusan berat badan IFitEr (I Fit and Eat Right), selama enam bulan di 'Wellness Hub' seluruh negara.
Katanya, Kementerian Kesihatan terus komited memastikan perkhidmatan kesihatan bukan sekadar memfokus kepada merawat, sebaliknya membudayakan cara hidup sihat selaras dengan nilai MADANI mencakupi aspek Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan.