KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta syarikat-syarikat penerbangan untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi termasuk menyediakan penginapan kepada penumpang yang terjejas, susulan penutupan ruang udara di beberapa buah negara di Asia Barat.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan penutupan ruang udara itu berlaku secara serta-merta ekoran ketegangan geopolitik membabitkan serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
“Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau berpatah balik kerana ruang udara yang sepatutnya dilalui ditutup tiba-tiba. Dalam situasi begini, syarikat penerbangan perlu ambil tindakan sewajarnya untuk membantu penumpang... sediakan tempat penginapan dan sebagainya,” katanya pada sidang media Pameran dan Persidangan Transport Expo Asia (TXA) 2025, hari ini.
Selain itu katanya, situasi itu turut memberi kesan kepada laluan penerbangan ke Timur Tengah dan Eropah apabila pesawat tidak boleh melalui ruang udara seperti Iran.
Justeru, banyak syarikat kini menggunakan laluan ruang udara alternatif di sebelah utara yang lebih jauh termasuk Afghanistan.
“Penerbangan saya ke Paris minggu lalu juga terpaksa melalui laluan berbeza, masuk dari India dan elak terus ruang udara Iran. Ini sudah pun dilaksanakan oleh banyak syarikat penerbangan sejak dua minggu lalu,” katanya.
Tambah beliau, penutupan ruang udara bukan sesuatu yang boleh dirancang atau diputuskan oleh negara luar, sebaliknya ia tertakluk kepada pengeluaran "notis kepada juruterbang" (NOTAM) oleh negara terlibat.
“Kalau ruang udara ditutup, memang tak ada penerbangan yang dibenarkan melaluinya, walaupun tiada arahan rasmi. NOTAM itu sendiri adalah petanda bahawa risiko keselamatan tinggi dan penerbangan tidak boleh diteruskan,” jelas beliau.
Anthony turut menyeru syarikat penerbangan agar terus berwaspada dan mengutamakan penilaian risiko bagi setiap penerbangan ketika situasi konflik masih berlarutan.
Terdahulu, beberapa negara Arab dilaporkan telah menutup ruang udara mereka buat sementara waktu pada lewat Isnin sebagai langkah berjaga-jaga selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar.
Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia di Doha memaklumkan bahawa ruang udara Qatar kini dibuka semula, membolehkan penerbangan beroperasi seperti biasa.
Susulan itu, rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan ke luar negara dinasihatkan agar menyemak status terkini penerbangan masing-masing.