fb fb fb fb fb

FELCRA agih RM101 juta keuntungan interim kepada 74,300 peserta

Majlis pengisytiharan berlangsung di Perkarangan Benih Padi FELCRA Plantation Sdn. Bhd., Seberang Perak, Kampung Gajah, Pasir Salak.

PASIR SALAK, 17 Ogos - FELCRA Berhad mengumumkan bayaran interim sebanyak RM101 juta kepada 74,300 peserta di seluruh negara. Ia hasil daripada keuntungan boleh agih interim pertama 2025 yang berjumlah RM178 juta, meningkat hampir RM2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, agihan itu akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hari ini.

“Semoga pengagihan ini memberi semangat baharu kepada para peserta FELCRA di seluruh negara. Kita menghargai usaha keras pengurusan FELCRA yang memastikan dividen kali ini lebih baik berbanding tahun lalu,” katanya.

Majlis pengisytiharan berkenaan berlangsung di Perkarangan Benih Padi FELCRA Plantation Sdn. Bhd., Seberang Perak, Kampung Gajah, Pasir Salak.

Dalam kenyataan berasingan, FELCRA menjelaskan peningkatan keuntungan didorong lonjakan 81 peratus keuntungan bersih projek kelapa sawit. Peningkatan turut dipacu kenaikan harga purata minyak sawit mentah kepada RM4,423.83 per metrik tan, selain kecekapan operasi mengurangkan kos sebanyak 15 peratus serta meningkatkan hasil per hektar sehingga 49 peratus.

TUN JULIA MOHD TAHIR