GEORGE TOWN, 17 Ogos – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana bantuan tersebut membantu meringankan beban kos sara hidup.
Seorang penerima, Robakyah Abu Bakar yang ditemui RTM berkata, wang STR digunakan untuk membeli barangan harian, termasuk keperluan anak istimewanya seperti lampin pakai buang.
"Alhamdulillah, terima kasih banyak kepada kerajaan,” katanya.
Bagi Noraini Salibu pula, bantuan itu membolehkan beliau membeli barangan dapur. "Dapatlah kurangkan beban sebab saya pun tidak bekerja,"jelasnya.
Sementara itu, Rahim Arippen menyatakan bantuan yang diterima digunakan untuk menyara keluarga, khususnya membeli barangan rumah. Beliau turut mengingatkan penerima lain agar berbelanja dengan bijak dan berjimat cermat.
Seorang lagi penerima, R. Rebecca Anne, menzahirkan rasa gembira kerana STR membantu golongan miskin sepertinya membeli keperluan asas.
Bagi Norazizah Abu Bakar, bantuan berkenaan digunakan sepenuhnya untuk membeli barangan dapur.