KUALA LUMPUR, 24 Jun - Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 akan dikuatkuasa setelah 10 garis panduan yang sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) siap sepenuhnya.
Menteri Komunkasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, lima daripada 10 peraturan masih dalam proses perbincangan termasuk melibatkan sesi libat urus bersama pihak industri, bagi memastikan pelaksanaan akta ini mengambil kira realiti teknikal dan keperluan semasa
"Akta Keselamatan Dalam Talian telah diwartakan pada 22 haribulan Mei, tetapi kita belum kuat kuasakan kerana terdapat 10 peraturan yang perlu dibangunkan oleh MCMC.
Pada waktu ini, lima telah siap dan ada lima lagi kita perlu uruskan. Jadi kita perlu sedikit masa untuk siapkan garis panduan ini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka IPPTAR 2025 di Angkasapuri, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian akan ditubuhkan di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi menyelaras pelaksanaan akta tersebut, sementara proses teknikal dilengkapkan.
Sebelum ini, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, undang-undang itu akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera untuk menurunkan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Akta Keselamatan Dalam Talian diperkenalkan sebagai respon terhadap peningkatan ancaman keselamatan siber, termasuk penipuan dalam talian, buli siber, eksploitasi kanak-kanak serta penyebaran maklumat palsu.