fb fb fb fb fb

Malaysia kecam agenda "Greater Israel" dan peluasan penempatan haram

Melanggar Konvensyen Geneva

Putrajaya, 15 Ogos- Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mempropagandakan visi peluasan wilayah haram “Greater Israel”, serta kelulusan pembinaan ribuan unit penempatan haram di kawasan E1 antara Baitulmaqdis dan Ma’ale Adumim di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu melanggar Konvensyen Geneva Keempat dan bertujuan untuk mengukuhkan pendudukan haram Israel.

"Projek E1 bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan matlamat memecahbelahkan Tebing Barat serta menghancurkan penyelesaian dua negara.

"Malaysia juga mengecam pembunuhan wartawan dan petugas media di Semenanjung Gaza, yang disifatkan sebagai pelanggaran berat terhadap undang-undang antarabangsa dan pencabulan terang-terangan terhadap Resolusi 2222 Majlis Keselamatan PBB mengenai perlindungan wartawan di kawasan konflik,"menurut kenyataan itu.

Tindakan menyasarkan petugas media itu didakwa sebahagian daripada kempen sistematik rejim Zionis Israel untuk membungkam laporan bebas dan menyembunyikan jenayah perang.

Malaysia menegaskan komitmen terhadap perjuangan rakyat Palestin, termasuk penubuhan Negara berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

PBB dan masyarakat antarabangsa turut digesa bertindak segera menghentikan tindakan haram Israel dan melindungi hak asasi rakyat Palestin.

HASRON BIN HASSAN