fb fb fb fb fb

FINAS, KWSP, PERKESO perkukuh perlindungan sosial penggiat seni

Foto BERNAMA

HULU KELANG, 15 Ogos– Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meraikan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh perlindungan sosial penggiat seni tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, ini melalui kerjasama strategik bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan sokongan Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA)

Katanya, kerjasama ini membolehkan penggiat seni menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) di bawah PERKESO serta skim i-Saraan KWSP sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan dan kebajikan mereka.

"Ini merupakan salah satu inisiatif melalui caruman KWSP dan PERKESO. Menerusinya, lebih 200 ahli atau penggiat industri telah menerima caruman melalui PERKESO.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat, beberapa inisiatif lain untuk artis veteran, termasuk dana akan turut diumumkan," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sijil caruman PERKESO dan sijil keahlian KWSP kepada penggiat industri di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, 20 artis veteran menerima sijil caruman PERKESO manakala 20 orang penggiat industri kreatif menerima sijil pembukaan akaun i-Saraan KWSP.

Menurut beliau, FINAS juga menaja pembukaan 1,000 akaun i-Saraan KWSP.

"Kuota ini dibuka sehingga September 2025 dengan keutamaan kepada penggiat yang belum pernah mendaftar,” katanya

Selain itu, Datuk Azmir Saifuddin berkata pihaknya sedang meneliti cadangan pemberian insentif khas atau dana khusus untuk artis veteran bagi memastikan mereka terus berkarya dan menyumbang kepada industri.

"Saya akan berbincang dengan KWSP dan PERKESO mengenai golongan veteran ini.

"Mungkin kita akan meneruskan pembiayaan melalui FINAS bersama PERKESO sebagai akaun 'one-off'.

"Namun, bagi pelaksanaan pada tahun-tahun akan datang, kemungkinan besar saya akan berbincang dengan PERKESO untuk meneruskan program ini khusus bagi golongan veteran sahaja," katanya.

Berdasarkan data PERKESO, keahlian penggiat seni meningkat ketara daripada 690 orang pada 2020 kepada 9,000 pada 2024.

Manakala caruman i-Saraan industri seni mencecah RM23 juta membabitkan 3,900 pekerja dengan simpanan terkumpul sebanyak RM231 juta.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello