fb fb fb fb fb

Insentif buat penjawat awam dorong perkasa perkhidmatan

Hani Junaidi (kiri), Zailiniza Zainal Abidin (tengah) dan Nur Diana Borhan (kanan) memberi reaksi susulan pengumuman Perdana Menteri/Foto RTM

PUTRAJAYA, 15 Ogos - Penjawat awam menyambut baik dan menzahirkan penghargaan atas insentif yang diumumkan Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-20.

Ia disifatkan sebagai dorongan yang mampu memperkasakan peranan penjawat awam dalam berkhidmat untuk negara.

Menurut penjawat awam, Hani Junaidi, insentif seperti Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA), merupakan peluang besar untuk memperkukuh kualiti modal insan sektor awam.

"Itu adalah satu peluang yang sangat besar dan ia memberikan satu semangat untuk penjawat awam yang mungkin ada keinginan untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

''Jadi dengan adanya insentif ini, saya rasa lebih ramai penjawat awam akan memiliki kualiti yang lebih baik," katanya.

Bagi Zailiniza Zainal Abidin, HPA bukan sahaja membuka ruang untuk menimba ilmu, malah mampu mengurangkan beban kewangan.

"Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kelebihan kepada penjawat awam untuk melanjutkan pelajaran.

''Sekurang-kurangnya, ia boleh mengurangkan beban bagi yang telah berkeluarga atau bujang berpendapatan rendah, jadi apa amanat yang disampaikan Perdana Menteri tadi diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Kerajaan dalam pada itu turut memperuntukkan RM3 juta bagi memperkasa Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Menurut Nur Diana Borhan, peruntukan tambahan itu memberi impak positif kepada penjawat awam dan pembangunan negara.

"Dengan tambahan RM3 juta ini, ia dapat memberi manfaat kepada penjawat awam untuk melakukan penyelidikan, dan seterusnya membawa kebaikan kepada negara," katanya.

ASHRIQ FAHMY AHMAD